Saturday, March 17, 2012

BUDAYA KERJA MUSLIM CEMERLANG

Islam bukanlah agama yang terbatas kepada aspek ibadah seperti solat, puasa dan haji, akan tetapi meluas kepada segala aspek kehidupan. Termasuk dalam keluasan ini ialah aspek budaya kerja, sebagaimana yang segera dapat difahami dari firman Allah Subhanahuwa Ta'ala:

Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.[al-Taubah 9:105]

Firman Allah Bekerjalah merujuk kepada semua jenis pekerjaan dan ia dalam bentuk kata perintah yang

bererti suruhan. Maka Islam menolak semua jenis sikap malas tanpa pekerjaan, sebaliknya menyuruh umatnya bekerja dengan apa jua yang selari dengan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Selain itu suruhan bekerja tidak dibiarkan begitu sahaja, ia diikuti dengan pemerhatian, pemantauan dan pengawasan daripada Allah, Rasul-Nya (Muhammad shallallahu'alaihi wasallam) dan orang-orang yang beriman. Tidak penting bagaimana Allah dan Rasul-Nya melaksanakan pemantauan ini, yang penting ialah dengan adanya pemantauan itu seorang muslim tidak akan tergamak bekerja secara malas,

khianat dan merugikan majikannya. Dia akan merasa malu, takut dan bertanggungjawab kepada Allah, Rasulullah dan sesama umat Islam. Dia mengetahui dirinya akan dikembalikan kepada Allah pada Hari Akhirat kelak dan Allah akan mengkhabarkan budaya kerjanya di mahkamah Padang Masyar nanti.

Justeru sekalipun ayat 105 surah al-Taubah ini merupakan ayat suruhan bekerja, dari sudut yang lain ia juga merupakan ayat ancaman, mengancam sesiapa jua yang enggan bekerja atau bekerja tetapi tidak dengan budaya yang cemerlang. Maka dalam tulisan yang serba ringkas ini, ingin saya kongsikan beberapa ciri budaya kerja yang cemerlang agar diri saya dan para pembaca sekalian lulus cemerlang dalam pemantuan di dunia dan pengadilan di Akhirat kelak.

Budaya # 1: Ikhlas.

Ikhlas ialah melakukan sesuatu dengan tujuan mengharapkan redha Allah sebagai priority pertama. Ikhlas tidak terbatas kepada aspek ibadah khusus tetapi meluas kepada semua aspek kehidupan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Katakanlah Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. [al-Anaam 6:162]

Ikhlas dalam bekerja menyebabkan seseorang itu tidak akan kehilangan motivasi seandainya hasil kerjanya tidak mendapat sanjungan majikan, kerana yang penting bagi dirinya ialah sanjungan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ikhlas juga menjadikan seseorang itu pekerja yang berani sebab dia mengetahui Allah akan melindunginya dari apa-apa perbuatan fitnah manusia seperti dengki dan politik

kotor pejabat. Pengetahuan ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Sesiapa mencari keredhaan Allah dengan kebencian manusia, maka Allah akan melindunginya dari kesulitan perbuatan manusia. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia dengan kebencian Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia.[ Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2414.]

Budaya # 2: Amanah.

Ketika menerangkan ciri-ciri orang yang berjaya dalam firman-Nya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. [al-Muminun 23:01]

Salah satu ciri yang disenaraikan ialah:

Iaitu orang-orang yang menjaga amanah dan janjinya. [al-Muminun 23:08]

Termasuk dalam kategori amanah dan berpegang kepada janji ialah: Berpegang teguh kepada kontrak atau surat perjanjian antara majikan dan pekerja. Ini merujuk kepada dokumen yang ditandatangai ketika mula bekerja atau apa-apa perjanjian baru yang dipersetujui antara majikan dan persatuan pekerja. Melaksanakan pekerjaan berdasarkan ilmu agar hasilnya seperti yang diharapkan oleh majikan, atau yang lebih baik dari itu. Dalam konteks ini ilmu terbahagi dua. Pertama ialah ilmu asas yang perlu diketahui oleh pekerja sebagaimana yang disyaratkan oleh majikan. Kadangkala ilmu ini disediakan oleh majikan melalui latihan dan kursus. Kedua ialah ilmu sampingan yang diusahakan sendiri oleh pekerja yang dapat menjadikan dirinya pekerja yang lebih mahir, efektif dan bermotivasi.

Bersikap jujur dalam semua tingkah lakunya. Antaranya ialah jujur dalam mengakui kesalahan, menerangkan ketidaktahuan, meminta cuti kecemasan, melaporkan penyelewengan di tempat kerja, menggunakan peralatan yang disediakan majikan, melaksanakan pekerjaan, membahagikan tugas dan memberi cadangan.

Pekerja yang melazimkan dirinya dengan sikap jujur akan dikenali di kalangan rakan kerja dan majikan sebagai orang yang jujur sehingga pelbagai kebaikan disandarkan kepada dirinya di dunia dan akhirat.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:

Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan menunjuk kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur. Manakala kedustaan menunjuk kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan menunjuk kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta.[ Sahih:Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6094.]

Budaya # 3: Sederhana Tetapi Berterusan.

Fahaman masyhur menyatakan, lebih banyak jenis dan jumlah pekerjaan yang dilakukan, lebih hebat seseorang itu. Namun fahaman ini perlu dikaji semula, sebab yang penting ialah kualiti dan bukannya kuantiti. Tidak ada faedah orang yang melakukan banyak jenis dan jumlah pekerjaan jika hasil kualitinya adalah minimum atau tidak memuaskan. Kemudian lazimnya pekerja seumpama akan menjadi letih, bosan dan nyah-motivasi hingga akhirnya kualiti kerja masuk ke skala negatif.

Berbeza dengan orang yang melakukan bukan sedikit tetapi sederhana jenis dan jumlah pekerjaannya berdasarkan kemampuannya, dia akan menghasilkan kualiti kerja yang jauh lebih baik dalam jangka masa yang panjang. Sederhana dalam jenis dan jumlah pekerjaaan berdasarkan kemampuan demi menjaga kualiti yang berterusan digalakkan oleh Islam. Aisyah radhiallahu 'anha, isteri Nabi shallallahu'alaihi wasallam pernah menerangkan tentang seorang wanita yang berlebih-lebihan dalam mendirikan solat. Rasulullah menjawab:

Janganlah begitu, ke atas kalian apa yang sekadar mampu. Demi Allah! Allah tidak bosan memberi ganjaran sehinggalah kamu sendiri yang merasa bosan (untuk beramal). Agama yang paling disukai oleh Allah ialah apa yang dilakukan secara berterusan.[ Sahih:Dikeluarkan oleh Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 43.]

~BERSAMBUNG~
dipetik dari website
http://hafizfirdaus.com/

No comments:

Post a Comment

Followers