Monday, October 18, 2010

KISAH PENJUAL TEMPE

Di dalam sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa.Menetaplah seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat.

Pekerjaan sehari-harinya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar.Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatan untuk menyara hidupnya. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempe yang diperbuat daripada kacang soya seketika tadi masih belum menjadi. Kebiasaannya, tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyata kesemuanya belum masak juga. Perempuan tua itu berasa amat sedih kerana tempe yang masih belum menjadi pasti tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu.

Dengan hati yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib. Bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya lalu berdoa ,
"Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkannya dengan sepenuh hati. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termangu seketika kerana kacang itu masih tetap kacang soya.(belum menjadi tempe)

Namun dia tidak mahu berputus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi.
"Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar tukarkanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin"

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.Dengan berbekalkan keyakinan yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.

Perempuan tua itu pun berserah pada Allah dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa.
"Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin".

Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tidak lupa untuk berdoa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang pasti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.
Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya.

Apa yang terjadi?

Tempenya masih juga belum menjadi.....

Dia pun terkejut lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dimakbulkan.

Dia merasakan Tuhan tidak adil. Tidak kasihkan Tuhan padanya?, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya kerana dia merasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mulai berkurangan.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawannya yang lain yang juga menjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil daripada jualannya yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah. Pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir,
"Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi."

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya

"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".


Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia berasa sangat gembira bersyukur pada Allah. Wanita itu membeli kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu,
"Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi haruslah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna.
Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun mengangguk dengan penuh kefahaman.Kini doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan ...

Pengajaran yang dapat diambil daripada cerita ini :

  1. Janganlah berasa kecewa jika doa kita tidak dimakbulkan oleh ALLAH S.W.T, kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambanya dan sesungguhnya perancangan Allah itu lebih baik dari segalanya. "Kadang-kadang Allah turunkan hujan, ditambah dengan guruh, siap dengan kilat lagi... kita tertanya-tanya Kemana perginya matahari? Rupanya Allah mahu memberikan kita pelangi yang indah"
  2. Jangan putus asa dalam berdoa. Kalaupun Allah tidak memberikan apa yang kita inginkan itu hari ini, mungkin DIA akan memberikannya pada esok hari atau mungkin DIA akan memakbulkan keinginan kita dari sudut yang tidak kita sangkakan.
  3. Tiada yang mustahil bagi Allah S.W.T.
Muhasabah diri kembali, kadang2 kita selalu menginginkan agar Allah memenuhi hak-hak kita sedangkan diri kita sendiri masih belum sempurna dalam memenuhi hak2 Allah. Tanya diri kita kembali ”Adakah diri kita ini sudah cukup sempurna dalam menunaikan tanggungjawab kita pada ALLAH S.W.T, x usah mengambil contoh yang berat, Cuma SOLAT kawan2,adakah kita sentiasa bersegera dalam mengerjakan solat? Atau masih tetap duduk di meja berbual tentang crita dunia yang tidak pernah akan habis.” Fikir2, renung2kan dan Ingatlah sesuatu “ Allah tidak akan rugi apa2 jika kehilangan perhatian daripada kita, TAPI diri kita akan menjadi serugi-rugi manusia jika kehilangan perhatian dari ALLAH S.W.T..” (Peringatan utk diri sendiri juga)



Followers